Monday, May 16, 2022

𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗚𝗨𝗥𝗨 2022


𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗚𝗨𝗥𝗨


Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik PASTI Kawasan Kemaman. Guru merupakan tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara yang mencorakkan kejayaan kita hari ini. 


“Sesungguhnya Allah dan seluruh malaikat-Nya serta penghuni langit dan bumi, memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” - (Hadis Riwayat At-Tirmizi)


Selamat Hari Guru,

Terima Kasih CIKGU!

“GURU TUNJANG SEKOLAH SEJAHTERA”


Ikhlas Daripada:

PASTI Kawasan Kemaman

16 Mei 2022


#PASTIKawasanKemaman

#MendidikGenerasiBertaqwa

#selamathariguru2022

Saturday, April 4, 2015

PASTI An Nur Nabila, Teluk Kalong dan PASTI Adam, Mak Chili Ungguli Sukan PASTI Kemaman 2015

Kijal, 4hb. April- PASTI An-Nur Nabila, Teluk Kalong muncul sebagai Juara Bola Sepak manakala PASTI Adam, Mak Chili menjuarai acara bola jaring di Sukan PASTI Kawasan Kemaman 2015. Pasukan bola sepak PASTI An Nur Nabila menewaskan lawannya dari PASTI Al Amin dengan penentuan penalti. Manakala acara bola jaring pula, pasukan PASTI Adam menewaskan pasukan PASTI Ar Rahman.

Sebanyak 18 buah PASTI menyertai acara bola sepak dan 8 buah untuk bola jaring. Sementara itu PASTI Al Hidayah, Kemasik dan PASTI Nurul Ehsan, Pasir Minal menduduki tempat ke-3 dan ke-4 untuk acara bola sepak manakala PASTI Al Mahabbah, Bukit Kuang dan PASTI Bestari Al Hikmah, Bukit Kuang menduduki tempat ke-3 dan ke-4 bagi acara bola jaring.

Antara pasukan bola sepak yang mengambil bahagian ialah PASTI Ar Rahman, PASTI Al Qamariah, PASTI Al Falah, PASTI Adam, PASTI Al Falah, PASTI Nur Islam dan PASTI Syawal.

Turut terlibat ialah PASTI Al Mahabbah, PASTI Al Furqan, PASTI Permai Jaya, PASTI Al Jihadi, PASTI Bestari Al Hikmah, PASTI Al huda, PASTI As Siddiq dan PASTI yang baru ditubuhkan pada sesi 2015 iaitu PASTI Ar Raudhah.

Bagi acara bola jaring, pasukan yg terlibat ialah PASTI Al Amin, PASTI Al Falah, PASTI Al Hidayah dan PASTI Al jihadi.

Majlis penyampaian hadiah kepada pasukan yang menjuarai dan menyertai pertandingan telah disempurnakan oleh Ustaz Alias Abdul Hamid, YDP PAS Kawasan Kemaman dan Pengerusi PASTI Kawasan Kemaman, Ust Nakhaie Nafiah. Kemenangan PASTI An Nur Nabila dan PASTI Adam melayakkan keduanya mewakili PASTI Kawasan Kemaman ke Karnival Sukan PASTI Negeri Terengganu yang akan diadakan pada 18hb. April ini di Hulu Terengganu. Jabatan PASTI Kawasan Kemaman mengucapkan tahniah kepada semua PASTI yang telah menghantar pasukan masing - masing dan berharap Kontinjen PASTI Kawasan Kemaman dapat merangkul gelaran juara bola sepak dan bola jaring 2015.

Tuesday, December 28, 2010

Jawatan Kosong - Guru PASTI sekitar Kemaman

Beberapa PASTI qaryah di daerah Kemaman memerlukan individu-individu yang berminat untuk mengisi kekosongan sebagai tenaga pengajar PASTI dalam daerah ini.



Waktu pembelajaran adalah bermula dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari


Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:-


  • Minimum SPM atau setaraf (pemegang shahadah 4 Thanawi @ lepasan pondok diutamakan)
  • Berdisiplin
  • Menutup aurat


Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi :-

  • Pengerusi PASTI Kemaman - 019 9115792
  • Tim Pengerusi PASTI Kemaman (Hal Ehwal Guru) - 013 9233664

Saturday, December 18, 2010

Perasmian Seminar Pengurusan PASTI Kemaman 2010 dan Pelancaran Web Rasmi PASTI Kemaman



KEMAMAN 18 Dis : PASTI Kawasan Kemaman terus melangkah ke depan dalam dalam mendepani cabaran semasa apabila telah berjaya menganjurkan Seminar Pengurusan PASTI Kemaman 2010 di Dewan As-Syafie, Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman.

Sebagai ganti program Taklimat Tahunan PASTI yang diadakan menjelang sesi baru persekolahan saban tahun, Sasaran program ini adalah pihak jawatankuasa pengurusan qaryah dan guru-guru PASTI seluruh Kawasan Kemaman.

Seminar yang bertemakan “Menuju PASTI Cemerlang“ ini dirasmikan oleh YDP PAS Kawasan Kemaman, Tuan Haji Ismail Harun.
 
Pengarah program, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dalam ucapan aluan menekankan 4 elemen penting seminar tersebut diadakan. Bermula dengan amanat YDP PAS Kemaman mengenai PRU 13 akan datang, diikuti pembentangan dari tokoh lama PASTI berkenaan pengurusan, seterusnya perkongsian dari PASTI-PASTI terpilih, akhirnya berkaitan maklumat-maklumat terkini mengenai PASTI .

Beliau juga selaku Pengerusi PASTI Kemaman mengucapkan terima kasih atas sokongan semua termasuk YDP PAS Kemaman dan guru-guru yang baru pulang dari kursus selama beberapa hari.

Tuan Hj Ismail Harun pula memulakan ucapan beliau dengan menyingkap kembali sejarah awal penubuhan PASTI Kemaman pertengahan tahun 80 an ketika beliau masih lagi berada dalam saf Dewan Pemuda PAS Kemaman.

Menurutnya lagi, dua perkara penting perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan PASTI Kawasan ialah mempunyai Pejabat khas untuk operasi dan hubungan dengan alumni PASTI. 

Pejabat Operasi adalah satu keperluan sebagai syiar PASTI itu sendiri sebagai tanda pihak pengurusan mempunyai system yang efisyen. Hubungan dengan alumni PASTI pula perlu untuk memastikan kesinambungan perjuangan dan benih islam yang ditanam akan membuahkan hasil.

 Majlis perasmian seminar diakhiri dengan pelancaran web rasmi PASTI Kemaman oleh YDP PAS Kemaman.

Sunday, November 14, 2010

Ihtifal PASTI melabuh tirai

Kemaman, 13hb. November : Hari Ihtifal 2010 Pusat Asuhan Tunas - Tunas Islam (PASTI) Adam, Qaryah Mak Chili,Kemaman berjaya diadakan dalam suasana ceria.

Majlis perasmian Ihtifal Gabungan PASTI Adam dan KAFA Adam disempurnakan oleh Ybhg Tuan Haji Aron Ibrahim, selaku Timbalan Pengarah III PASTI Negeri Terengganu.

Turut hadir ialah Sdr Ridzuan Mohamad, Timbalan Penyelaras Jabatan PASTI Kawasan Kemaman merangkap Pengerusi Kebajikan Guru-Guru PASTI.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang didendangkan oleh Sdr Mod Ansari Abd Aziz. Beliau merupakan bekas pelajar PASTI Adam pada tahun 1997.

Sdr Azman Zawawi selaku Pengurus PASTI Adam dalam ucapan aluannya mengucapkan penghargaan kepada pihak urusetia majlis, guru - guru, pembantu - pembantu serta ibubapa/penjaga yang mengembeling tenaga dan memberi sokongan dalam menganjurkan acara tahunan ini.

Menurutnya lagi, PASTI Adam yang merupakan antara PASTI terawal di Daerah Kemaman ditubuhkan pada tahun 1985, di Surau Hj Mat Zain. Bermula dengan hanya 2 kelas pada tahun tersebut, Alhamdulillah dengan berkat kesabaran dan kesungguhan semua pihak, PASTI Adam terus mendapat sambutan dari masyarakat sehingga mempunyai 14 kelas pada waktu ini dan merupakan PASTI yang mempunyai pelajar paling ramai seluruh negara.

Penasihat PASTI Adam, Cikgu Abd Razak Ibrahim pula dalam ucapan beliau menjelaskan sistem pendidikan PASTI sentiasa menitikberatkan mutu pengajian. Oleh itu, kursus-kursus untuk guru-guru sentiasa diadakan.

Bagi matapelajaran Al-Quran, sebagai tambahan kepada silibus yang ada, pihak pengurusan PASTI Adam akan memperkenalkan Teknik Al-Baghdadi bermula tahun hadapan. Para hadirin juga dimaklumkan pada tahun ini PASTI Adam telah menjadi johan dalam pertandingan 3K iaitu Keceriaan, Kebersihan, dan Keselamatan peringkat Negeri Terengganu, sekaligus dipilih menjadi calon ke peringkat pusat bagi mewakili Negerei Terengganu.
Tuan Hj Arun Ibrahim dalam ucapan perasmian mengucapkan tahniah dan penghargaan terutama kepada guru-guru yang banyak berkorban dalam mendidik anak-anak untuk menjadi manusia yang berjaya. Bukan sahaja untuk kejayaan dunia, tetapi yang lebih lebih penting adalah kejayaan di akhirat.

Ujarnya lagi, pengorbanan ibubapa/penjaga memberi pendidikan dengan menghantar anak mereka ke tempat pembelajaran yang berteraskan Islam pasti akan membuahkan hasil yang lumayan untuk masa depan anak tersebut.
Beliau juga memberi tips untuk berjaya iaitu DUIT. Singkatan kepada Doa, Usaha, Istiqamah, Tawakkal.

Majlis Ihtifal PASTI Adam diteruskan dengan persembahan anak-anak, dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun yang baru sahaja selesai.

Tuesday, October 12, 2010

Pelajar PASTI meriahkan Sambutan Jubli Emas Pas Kemaman



Pekan Kemasik - 10 Oktober - Sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelajar-pelajar PASTI seluruh Kemaman.Pelbagai acara diatur oleh penganjur untuk Pelajar PASTI.Turut menjayakan program tersebut ialah guru-guru PASTI,AJK Qaryah dan ibu-bapa pelajar yang datang memberikan sokongan padu.

PASTI merupakan institusi pra-sekolah yang ditaja oleh PAS dan bernaung dibawah Dewan Pemuda PAS.Ketua Jabatan PASTI Kemaman Ustaz Hisyamudin Abd Karim ketika dihubungi menyatakan rasa syukur beliau dengan penglibatan PASTI dalam Sambutan Jubli Emas kali ini sambil mengharapkan sokongan dan komitmen padu semua pihak agar PASTI terus dekat dihati masyarakat.

Kehadiran Ibu-Bapa pelajar yang ramai membuktikan sokongan masyarakat kepada perjuangan Islam semakin meningkat dan InsyaAllah akan dikurniakan kejayaan untuk kembali memimpin Terengganu dalam pilihanraya akan datang.








Wednesday, September 22, 2010



Mahrajan PASTI Kawasan Kemaman.

Semua ibu bapa dan orang ramai dijemput hadir ke Mahrajan PASTI Kawasan Kemaman 2010 pada 25 September 2010 bersamaan 16 Syawwal 1431H di Markaz Tarbiyah PAS Bukit Mentok. Majlis akan bermula pada jam 8.00 pagi - 1.00 petang. Majlis dimeriahkan dengan sambutan hari Raya Idil Fitri PASTI Kemaman.
 

Pusat Asuhan Tunas Islam Kemaman Copyright © 2009 Cookiez is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template